Bismillahirahmanirrahim
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Kami turunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibrail turun dengan perintah Allah membawa segala perkara ( yang telah diputuskan Allah). Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar.”
Inilah salah satu keistimewaan bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW ada menyebut:
“Sesiapa yang berbuat ibadah pada malam Lailatul Qadar kerana didorong oleh keimanan dan harapan mendapat keredhaan dari Allah, nescaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu”
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
Bagi orang mukmin malam Lailatul Qadar adalah peluang terbaik yang sentiasa dinanti-nantikan untuk memperolehi nikmat dan rahmat Allah.
Apakah yang terjadi pada malam itu? Bagaimana kedatangannya, apakah setiap orang yang menantinya pasti akan mendapatkannya? Benarkah ada tanda-tanda fizik (zahir) yang menyertai kehadirannya (seperti membekunya air, heningnya malam dan pokok-pokok semua tunduk seolah-olah sujud menyambut kedatangan para malaikat? Masih banyak lagi pertanyaan yang dapat dan sering muncul berkaitan dengan malam Al-Qadr tu.
Yang pasti, setiap Muslim menyakini berdasarkan penyataan Al-Quran, bahawa “ Ada suatu malam yang bernama Lailat Al-Qadr” (Al-Qadr:1) dan bahawa malam itu adalah “malam yang penuh berkat di mana dijelaskan atau ditetapkan segala urusan besar dengan penuh kebijaksanaan…” (Ad-Dukhan :3)
Malam Lailatul Qadar adalah satu peluang yang Allah berikan pada hambaNya untuk menggandakan balasan amal ibadah di sisi Tuhannya. Allah merahsiakan kedatangan maam Lailatul Qadar kerana itu merupakan hak Allah kepada hambaNya. Jika kedatangan Lailatul Qadar diberitahu sudah tentu hamba-hambaNya akan menumpukan ibadah pada malam tersebut sahaja dan malam-malam lain dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Orang mukmin yang benar-benar mengharapkan keredhaan Allah akan berusaha tanpa jemu untuk beribadah dengan harapan akan dipertemukan dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan itu.
Ramadhan adalah bulan kehadiran Lailatul Qadar, kerana bulan ini adalah bulan penyucian jiwa dan kerana itu juga sehingga ia diduga oleh Rasul datang pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya beri’tikaf pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Pada setiap malam tersebut orang-orang mukmin akan memperbanyakkan ibadah seperti solat, zikir, membaca Al-Quran dan sebagainya.
Semoga kita dapat menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan pengampunan yang dipenuhi dengan ibadah. Seperti sabda Baginda SAW: “Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahan keampunan dan akhirnya selamat daripada azab neraka’
Ain87
Syukran









